JAKARTA – BANDUNG, INDONESIA.
Isnin, 16 Mac 2009
Petang itu seperti yang kami jangka, hujan turun dengan amat lebat. Perasaan kami bercampur baur, seronok untuk menghadapi pengalaman baharu namun bimbang kerana tidak tahu apa yang akan berlaku di destinasi yang akan kami kunjungi nanti. Semua kebimbangan berakhir apabila kami tiba di Lapangan Terbang Soekarno – Hatta pada jam kurang lebih 11 malam kerana ketibaan kami telah ditunggu oleh Pak Rizal (disebut Rijal), pemandu pelancong kami sepanjang percutian kami nanti.
Malam itu juga kami dibawa terus ke Villa Gardenia yang terletak di Puncak, Bandung. Oh, siapakah ‘kami’ sebenarnya? ‘Kami’ berlapan yang dimaksudkan ialah Pn. Zalizan (ketua rombongan), Pn. Shakirah, Pn. Hazlina, Pn. Rosmani, Pn. Rahayu, Pn. Rosemaria, Cik Siti Khadijah dan Pn. Norriah (penulis). Di sepanjang perjalanan, Pak Rizal memberikan sedikit info tentang Jakarta dan Bandung. Menurutnya, tempat-tempat di Bandung semuanya bermula dengan suku kata ‘Ci” contohnya, Cipanas, Cihampelas, Cibaduyut dan banyak lagi. Kami memang seronok kerana itulah masanya kami menghabiskan masa dengan kawan-kawan dalam keadaan bebas daripada ‘kerja’. Masing-masing senyum sampai ke telinga kerana bergelar jutawan! Jutawan Rupiah.
Sebelum sampai di villa penginapan, kami disajikan dengan nasi padang. Kedinginan malam yang mencucuk ke tulang mengurangkan selera kami, dah kenyang pun ya juga. Selepas itu kami di bawa ke villa. Semua rumah penginapan di kawasan ini dinamakan villa (bunyinya macam mewah). Villa yang menjadi rumah tumpangan kami agak selesa, berhadapan dengan kebun sayuran di kaki bukit. Segar dan tenang.
Selasa, 17 Mac 2009
Kami bangun awal pagi kerana waktu Malaysia yang sejam lebih awal menyebabkan kami bimbang kehabisan waktu solat subuh.
Pagi hening itu menyaksikan lapan orang wanita yang begitu teruja untuk memulakan perjalanan. Kami dihidangi nasi goreng telur pada jam 7 pagi. Banyak juga nasi yang bersisa walaupun enak juga rasanya. Kami dibawa ke Pasar Baru di bandar Bandung. Sepanjang perjalanan, kami langsung tidak melepaskan peluang menyaksikan bumi Allah yang dibanjiri manusia dengan pelbagai aktiviti. Pendek kata, tiada tanah terbiar di sana. Penduduk giat bersawah, berniaga dan ada sahaja kerja yang dilakukan seolah-olah ‘kalau nak makan, mesti kerja!’ Bersyukurlah kita di Malaysia yang dianugerahi rezeki berlimpah ruah, namun masih ada yang malas berusaha kerana telah berada di zon selesa agaknya. Sepanjang jalan ke bandar Bandung, kami saksikan dua keunikan yang mencuit hati kami iaitu tong gas berukuran sederhana yang comel dan ayam di dalam sangkar yang dibina agak tinggi. Seekor ayam, satu sangkar!
Di tepi-tepi jalan agak meriah dengan gantungan pelbagai poster kempen pilihan raya dan bendera. Khabarnya, pilihan raya akan diadakan beberapa bulan lagi. Seronok juga membaca manifesto parti-parti yang bertanding. Antara colon yang kami kenali ialah artis terkenal Indonesia, Marissa Haque. Kami tidak melepaskan peluang membaca nama-nama gedung perniagaan di sepanjang jalan, antaranya apotek (farmasi).
Sebaik sahaja sampai di Pasar Baru, kami terus menuju ke kedai yang menjual kad sim kerana kad sim yang dibeli di Indonesia dapat menghubungkan kami terus dengan orang di Malaysia. Terfikir juga, mudahnya! Setelah setiap orang melepaskan rindu kepada keluarga, kami memulakan langkah dengan tujuan asal...beli belah! Bukan kami tidak menyahut seruan kerajaan untuk membeli barangan buatan tempatan, tapi sekali-sekala apa salahnya! Setiap pesanan daripada kawan-kawan yang pernah sampai ke sini sentiasa terpahat dalam ingatan kami. Sambil berhati-hati dengan tawaran harga, kami juga menjaga keselamatan diri dan beg tanpa culas. Setelah lebih 3 jam berlalu, kami pun berkumpul di ‘lantai’ 6 untuk makan tengah hari. Nah! 3 jam sahaja masing-masing telah membawa paling kurang 2 beg penuh berisi pelbagai barangan. Memang cekap. Pak Rizal senyum sahaja melihat gelagat kami. Ironinya, kami hanya sempat membeli belah di dua lantai (tingkat) sahaja. Masih ada lima lantai yang belum kami terokai. Kami dijanjikan untuk menyambung niat kami yang masih banyak belum tertunai selepas makan tengah hari itu.
Tengah hari itu, kami dihidangi nasi padang, hidangan yang sama seperti malam sebelumnya. Telur rebus masak kari, daging rendang, sambal, pucuk ubi rebus, ayam goreng dan nasi dihidang empat set untuk kami berlapan. Bimbang kehabisan tenaga, kami makan dengan agak berselera tengah hari itu. Selepas makan, kami meneruskan aktiviti. Lantai satu menjadi sasaran kerana di situ lebih banyak jualan telekung dan kain bersulam. Hmmm... memang banyak telekung yang kami beli, mudah-mudahan lebih banyaklah ‘amalan’ kami selepas ini. Tidak dinafikan, sulaman dan fabrik yang digunakan amat menarik, kalau boleh nak beli kedainya sekali!.
Setelah jam 4.30 petang, satu demi satu kedai sudah mula ditutup. Dalam kerancakan membeli barangan, kedai pula cepat ditutup. Kami yang sudah keletihan juga mula beredar ke van yang sedia menunggu. Selepas itu, kami di bawa pula ke gedung beli-belah Dago yang menjual barangan berjenama. Yang menariknya ialah landskap di luar bangunan yang menyaksikan kami asyik memetik kamera di setiap sudut. Kami pulang ke villa setelah matahari terbenam.
Di dalam van, masing-masing seronok bercerita tentang barangan yang dibeli. Kenderaan yang dipandu laju ala-ala van rempit menyebabkan kami tidak senang duduk. Memang supir yang memandu van itu ‘super’ kerana dapat melewati banyak kenderaan namun keadaan van yang telah berat dan sarat dengan barangan yang kami beli agak menyukarkan supir itu untuk lebih menunjukkan kehebatan pemanduannya. Syukur kami sampai dengan selamat di villa dan malam itu. Untuk kali ini, kami dihidangi nasi padang lagi. Kami menjamah sedikit sahaja kerana malam telah lewat dan badan juga telah letih. Kami perlu mengumpul tenaga kerana hari esoknya kami dijanjikan tempat yang lebih menarik untuk beli-belah.
Rabu, 18 Mac 2009
Pagi-pagi lagi kami sudah siap menunggu Pak Rizal. Mihun dengan telur mata kerbau kami jamah sedikit sahaja. Tidak sabar rasanya hendak menyelami pengalaman beli-belah di beberapa ‘factory outlet’ di Cihampelas dan Cibaduyut dan di sekitar Bandung. Dalam perjalanan, kami singgah di jambatan (terlupa pula namanya) yang terkenal dengan jurang dalamnya untuk mengambil foto sebagai kenangan. Sepanjang menelusuri tempat-tempat shopping itu, kami tidak begitu ghairah membeli seperti semalamnya kerana bukan barangan seperti itu yang kami cari. Kasihan juga melihat Pak Rijal yang mula gusar kerana kami seperti tiada ‘selera’ untuk beli belah.
Pada waktu tengah harinya, kami dimaklumkan akan makan di satu tempat dengan hidangan nasi padang! Ah...tidak!! Atas permintaan, kami dibawa makan mi kocok di suatu sudut kota Bandung, di tepi jalan yang agak lengang. Mi kocok boleh tahan rasanya namun yang menarik perhatian ialah warung yang menyajikan air di sebelahnya, es kelapa! Buah avokado, kelapa parut, buah kundur, dan beberapa bahan lain, disimbahi sedikit susu pekat manis memang bergizi dan enak rasanya apatah lagi di bawah terik mentari. Petangnya, kami singgah di Kartika Sari, gedung yang menjual pelbagai jenis kek dan kuih-muih yang terkenal di Bandung.
Pada sebelah malamnya, kami pulang ke villa di Puncak. Pak Rijal agak pelik apabila melihat kami yang tidak banyak membeli barangan seperti hari sebelumnya, lalu cuba menawari kami untuk pergi ke shopping mall yang terletak di Puncak, Bandung. Setelah beberapa kedai kami kunjungi tiada juga barangan yang kami cari-cari. Rupa-rupanya Pak Rijal tidak faham maksud sulaman yang menjangkakan kami mencari blouse bersulam. Susah payah beliau menelefon isterinya bertanyakan maksud sulaman dan diberitahu, “...itu tenunan pak...” Kami pulang ke villa dengan perasaan sedikit hampa tapi masih teruja kerana esoknya kami akan dibawa ke pusat beli-belah Tanah Abang, Jakarta. Hidangan malam itu tetap sama seperti malam sebelumnya tetapi kami tidak pula merungut.
Khamis, 19 Mac 2009
Pagi hari itu, sarapan terakhir kami ialah nasi (seperti nasi lemak). Beg kami telah ‘beranak’ dan setiap orang telah menambah sekurang-kurangnya satu lagi beg. Lama juga masa diambil oleh Pak Rizal dan pak supir menyusun beg kami ke dalam van kerana kami mengambil keputusan untuk terus berada di Jakarta sebelum bertolak ke lapangan terbang pada subuh esoknya kerana tidak sanggup mengharung jalan yang sesak dan berliku untuk ke Bandung sekali lagi.
Di Tanah Abang, keadaan kedai yang rapat dan sesak dengan pengunjung membuatkan kami tergamam seketika, di mana kami hendak bermula? Akhirnya, kami berpecah kepada beberapa kumpulan dan mengikut tujuan masing-masing. Kami berkumpul semulauntuk makan tengah hari. Untuk kesekian kalinya, hidangan nasi padang lagi! Aneh bagi kami, kedai di sini juga ditutup agak awal, sekitar jam 4.30 petang. Masih ada antara kami yang tidak puas membeli belah. Setelah itu, kami dibawa ke pusat beli-belah Mangga 2. Kami membeli ala kadar sahaja. Status jutawan Rupiah kami sebelum itu telah bertukar kepada ... Tak apalah, asalkan kami semua gembira! Ada juga yang membuat perancangan untuk ke destinasi lain pula selepas ini.
Untuk kemudahan kami, Pak Rizal dan pak supir menempatkan kami di sebuah motel tidak jauh dari lapangan terbang pada malam itu. Percutian empat hari tiga malam itu tidak dapat kami lupakan kerana masing-masing ada pengalaman sendiri, namun yang penting sekali ialah kegembiraan kami dapat bercuti bersama-sama.

Di hadapan Villa Gardenia, Puncak, Bandung.

Pak Rizal, yang menemani kami tanpa jemu...

Sedap juga es kelapa di warung kaki lima ni.
Memang es kelapa cukup menyegarkan.
Sempat bergambar di atas jambatan, di bawahnya jurang dalam.
Tiada langsung tanah terbiar di Bandung.
Tetap ceria walaupun penat.
Seronok bercuti....bila lagi dapat begini??